Hindraf Bantah Ceramah Dr Zakir Naik di Malaysia

Hindraf Bantah Ceramah Dr Zakir Naik di Malaysia

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mempersoalkan tindakan Hindraf yang membantah ceramah Dr Zakir Naik di Malaysia.
Beliau turut menempelak tindakan Hindraf yang mendakwa bahawa Dr Zakir Naik bukan dari aliran Aswaja.

“Soalannya, Hindraf beragama Hindu, apakah pulak kaitan mereka dengan aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah?,” soalnya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Mohd Asri juga berkata, berkemungkinan Hindraf telah terkena sindrom sesetengah puak dalam masyarakat muslim yang suka menuduh orang lain bukan Ahlus Sunnah wal Jamaah.
“Maka tidak pelik jika dalam kalangan muslim ada kelompok bukan Ahlus Sunnah wal Jamaah tetapi menuduh orang lain bukan Ahlus Sunnah wal Jamaah,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sepanjang Dr Zakir Naik menyampaikan ucapan, tidak pernah sekali pun beliau mengajak kepada permusuhan antara agama.
“Beliau hanya bercakap tajuk perbandingan antara agama. Bicara beliau bersifat ‘intelectual discourse’.

“Jika Hindraf ataupun kumpulan yang menamakan diri mereka Aswaja tidak setuju, mereka mungkin boleh hadir dan bantah secara intelek semasa sessi soal-jawab,” tegasnya lagi.
Terdahulu, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy telah mendesak agar Kerajaan Persekutuan menghalang dan membatalkan program yang melibatkan Dr Zakir Naik ke negara ini.
Dr Zakir Naik dijadual akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Is the Quran God’s Word?’ di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 16 April akan datang.

 Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan gerakan hak asasi manusia Hindu, Hindraf Makkal Sakthi, supaya tidak mencampuri urusan umat Islam dan menuduh pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, sebagai sesat.

Malah, Hindraf juga diingatkan supaya tidak membuat tuduhan membabi buta yang mengatakan ajaran Dr Zakir tidak selari dengan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah, berkata gesaan Hindraf menerusi kenyataan Pengerusinya, P Waythamoorthy, supaya kerajaan membatalkan siri jelajah Dr Zakir adalah campur tangan dalam urusan agama Islam.

Beliau mengingatkan bahawa Dr Zakir pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh Kerajaan Malaysia pada 2014 lalu dan beliau juga adalah pendakwah yang istimewa pada peringkat antarabangsa.
“Perkasa memberi amaran keras kepada Hindraf agar tidak menuduh Dr Zakir Naik sebagai ‘deviant foreign preacher’ (pendakwah luar yang sesat).
“Hindraf juga dinasihatkan agar tidak membuat tuduhan yang melulu dan membabi buta. Wahai Whyta! Tolong berhati-hati dalam membuat kenyataan yang menyentuh hal ehwal Islam dan umat Islam.

“Bila pula ajaran-ajaran Dr Zakir tidak selari dengan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah? Sejak bila Whyta pula menjadi ulama dan menghukum Dr Zakir dengan hukuman sedemikian?,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, malam tadi.

Dr Amini Amir berkata, tuduhan bahawa Dr Zakir sebagai fanatik dan ‘…a virus in a pluralistic society. He’s a plague’ juga tidak berasas, prejudis dan biadab, sedangkan kedatangan Dr Zakir ke Malaysia adalah atas undangan pihak berkuasa agama dan memberi banyak manfaat kepada umat Islam.
Beliau menasihatkan Waythamoorthy supaya tidak bermain dengan api dan memberikan bukti yang benar dan kukuh yang mengatakan Dr Zakir mempersenda agama Hindu, dan bahawa beliau memperlekeh agama-agama lain serta mazhab-mazhab dalam Islam.
“Pelabelan oleh Darul Ulum bahawa Dr Zakir adalah Ghair Muqallid bukanlah bermaksud bahawa beliau sesat.

“Ghair Muqallid bermaksud tidak bertaklid iaitu beliau tidak mengikut secara semborono mana-mana pandangan mazhab kerana beliau boleh memahami asas pembentukan hukum berasaskan disiplin ilmu-ilmu yang penting dalam Islam.
“Wahai Whyta, adakah anda faham apa yang anda perkatakan?,” katanya.
Beliau berkata, Waythamoorthy juga amat keliru apabila menuduh Dr Zakir sebagai ‘was noted for encouraging and promoting sectarianism within Islam besides having acquired a reputation for making insensitive and disparaging remarks about other religions including mocking Hindu beliefs’.

“Waythamoorthy berkata ‘He chose Terengganu, which is almost all Muslim, probably because he wants to create a sectarian following in the state and spread out from there’.
“Perkasa ingin menasihatkan Whyta agar tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dengan membuat tuduhan yang tidak tepat seperti di atas. Apakah Hindraf tidak mempunyai intelektual yang mempunyai intellectual honesty?,” katanya.

Dr Amini Amir meminta Hindraf memberi perhatian kepada kebajikan ahli-ahlinya yang terbiar.

“Hindraf perlu tanya kepada diri sendiri, adakah kewujudan mereka memberi kebaikan kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dalam negara Malaysia yang kita cintai ini.

“Kenapa Hindraf selalu membuat masalah dalam negara ini? Apakah Hindraf sudah kehilangan modal, lantas bermain dengan isu picisan sebegini?,” katanya.
Dr Zakir Naik dijadual akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Is the Quran God’s Word?’ di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 16 April akan datang.

Subscribe to receive free email updates: