Video Penerangan Padat Mengenai Forex: Kenapa Ia Haram Dalam Islam

Video Penerangan Padat Mengenai Forex: Kenapa Ia Haram Dalam Islam

Sejak 2-3 bulan ini, ada beberapa kenalan yang bertanya tentang Forex Trading dan kenapa saya tinggalkan.

Saya terlibat dengan Forex Trading pada sekitar tahun 2007-2008 ketika saya masih lagi seorang pelajar di UNITEN. Bersama 2 orang rakan, kami berjaya memperoleh lebih kurang 30k USD (lebih kurang RM100 ribu) dalam masa kurang dari setahun dengan modal hanya 1k USD (lebih kurang RM3,600).


Namun, disebabkan tamak kami menukar strategi kami dengan meletakkan ‘take profit’ lebih tinggi, iaitu dari 10 pips kepada 30 pips. Padahal, dengan hanya 10 pips tersebut kami mendapat keuntungan dalam 200 hingga 1000 USD untuk satu ‘position’ bergantung pada mata wang yang di’trade’.


Disebabkan kesilapan itu, kami rugi dengan teruk sekali sebab kami ‘trade’ dengan menggunakan ‘full margin’ untuk setiap ‘position/order’. Untungnya cepat, rugi pun cepat.


Saya selalu follow seorang trader, nickname “Wiseman Trader” (nama sebenar tidak akan dinyatakan) seorang cikgu berasal dari Kuching, Sarawak. Beliau merupakan guru saya dalam Trading menggunakan “Trading Chaos by Bill Williams”. Jika anda biasa menggunakan MT4 Platform anda pasti akan melihat ‘Technical Indicator’ atas nama Bill Williams.


Wiseman Trader telah membuat banyak ‘profit’ dalam Trading beliau selama beberapa tahun. Namun, tiba-tiba beliau katakan pada saya, mahu berhenti Trading dan mengajar kerana takut seksaan Allah. Pada ketika itu saya tidak faham sehingga beliau berikan link video ceramah tentang Kewangan Islam dari Dr Zaharuddin Abd Rahman, seorang Pakar Kewangan Islam.


Pada masa itu, Ustaz Zaharuddin belum diketahui ramai. Bayangkan, saya sudah mendapat banyak keuntungan, rupa-rupanya ia telah difatwakan haram kerana Forex Trading melibatkan Riba. Sudah tentu akan mencari ustaz atau ulama yang meringankan hukum tersebut. Namun, hujah-hujah yang meringankan Forex Trading ternyata lemah dan dibahas oleh ustaz yang tidak Pakar dalam Fiqh Kewangan Islam.


Salah satu hadis yang di sebut Ustaz Dr. Zaharuddin dalam buku atau artikelnya berbunyi,


Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :


Ertinya : ” Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..” 

(Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Tidakkah hadis di atas sudah cukup menakutkan?


Tujuan saya menulis ini bukan untuk menjatuhkan sesiapa, tetapi atas kasih sayang sesama umat lebih-lebih lagi kepada sahabat yang saya sayangi sudah ramai terlibat dalam Trading dan Investment berasaskan FOREX.


Nasihat saya kepada sahabat-sahabat yang sudah terlibat, bertaqwalah kepada Allah. Amaran yang keras telah diberi kepada penerima, pemberi, yang menjadi saksi dan pencatat dalam urusan Riba.


Allah berfirman yang bermaksud,


“Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (al-Baqarah:179)


Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :


Ertinya : “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah subhannahu wa ta’ala ” (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)


Berkatalah Abu Hanifah R.H pula : ” Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan” (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)


Imam Malik Bin Anas R.H pula berkata :


Ertinya : “Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah subhanallah wa ta’ala dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364


Sila Rujuk link di bawah;


Artikel Pelaburan Dan Meniaga FOREX Oleh Zaharuddin Abd Rahman:

http://www.zaharuddin.net/pelaburan-&-perniagaan/649-hukum-labur-a-berniaga-forex-forex-trading.html

Video Forex Trading dan Hukumnya oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman:

http://youtu.be/7t0ytRRWrK8

Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik

Portal Rasmi Fatwa Malaysia:

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-perdagangan-pertukaran-matawang-asing-oleh-individu-secara-lani-individual-sp

Subscribe to receive free email updates: